Misi buru slot penentuan tempat ke-3

on Saturday 17 November 2012

Johor Bahru: Selepas impian mempertahankan kejuaraan lebur, skuad Projek 2013 yang berdepan India pada aksi terakhir harus tiada pilihan lain selain mencatat kemenangan untuk memburu slot penentuan tempat ketiga pada Kejohanan Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, petang ini. 

Jurulatih, Muhammad Dharma Raj Abdullah perlu bijak mencorak permainan taktikal lebih berkesan apabila berdepan tuan rumah Kejohanan Piala Dunia Remaja tahun depan itu yang sudah layak beraksi di pentas final selepas mengungguli carta dengan mengumpul 10 mata. 

Sepanjang empat perlawanan yang diharungi, skuad negara sering ketinggalan dengan jaringan awal pasukan lawan dan memaksa barisan pemain bekerja keras bangkit namun hampa apabila kerapuhan benteng pertahanan yang goyah membiarkan gawang dibolosi. 


Namun, Dhaarma enggan menyalahkan barisan pemainnya yang gagal merealisasikan impian layak ke pentas final buat kali kedua, sebaliknya menganggap mereka masih dalam proses pembelajaran sebelum Piala Dunia di New Delhi, Disember tahun depan. 

Selepas empat perlawanan kita harungi, hanya satu kemenangan diraih apabila menewaskan Jerman 3-2 namun tiga aksi seterusnya agak goyah dan mungkin mereka terlalu bersemangat buru kemenangan menyebabkan hilang tumpuan sehingga tumpas kepada pasukan lawan. 

Jadi, saya harap pemain dapat memperagakan aksi berbeza dalam perlawanan terakhir petang esok (petang ini) untuk mencatat kemenangan kedua, katanya. 

Dhaarma juga mengakui skuad negara kerap gagal menyempurnakan peluang pukulan sudut penalti dan ia harus diatasi segera. 
Sepanjang empat perlawanan lalu, pukulan sudut penalti kita tidak cukup tajam walaupun sudah buat yang terbaik malah perubahan taktik dengan cuba memperdaya pasukan lawan juga masih belum mampu menembusi gawang gol lawan. 

Saya anggap kegagalan itu agak serius dan perlu diatasi segera, katanya.
Ranking: 5
 
© CERITA PILIHAN RAKYAT All Rights Reserved